Tuesday, October 13, 2015

Hari Sukan Negara / Warga Sekoah Sihat Tanpa Dadah /10.10.2015

Hari Sukan Negara telah diadakan pada 10.10.2015. Ianya melibatkan seluruh warga sekolah SKSungai Serdang. Warga SK Sungai Serdang bebas dadah.
Murid-murid berzumba

Aktiviti berzumba diketuai oleh Cikgu Norasyikin

FAEDAH BERSUKAN

Menurut kamus dewan, bersukan bermaksud bergiat dalam sukan. Sukan penting memastikan badan kita sihat. Jikalau kita tidak bersukan, pastinya badan kita akan mudah dijangkiti penyakit kerana kekurangan antibodi yang digunakan oleh sistem kekebalan tubuh untuk mengidentifikasi dan menetralisir benda asing, seperti bakteri dan virus. Sukan adalah penting dalam kehidupan kita supaya memastikan taraf kesihatan kita berada dalam keadaan yang baik. Namun sesetengah masyarakat tetap memandang enteng dan tidak melihat sukan sebagai sebahagian dalam kehidupan kita walaupun sukan mempunyai banyak kebaikannya.
           
 Antara kebaikan yang dapat kita peroleh dengan bersukan ialah para pelajar lebih mudah untuk menerima pelajaran, bak kata pepatah Melayu akal yang sihat adalah dari badan yang sihat. Hal ini kerana apabila mereka bersukan, otak mereka akan menjadi lebih cerdas dan dapat menerima pelajaran mereka dengan baik. Bersukan juga mampu membantu pelajar untuk fokus semasa sesi pembelajaran. Pelajar-pelajar boleh melakukan aktiviti bersukan dengan melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum yang ada di sekolah seterusnya dapat menambahkan lagi pelbagai jenis pengetahuan mengenai sukan dan kebaikannya. Oleh itu, bersukan amat bermanfaat bagi pelajar yang ingin cemerlang dalam pelajaran.
            
 Seterusnya,aktiviti bersukan dapat mengisi masa senggang seseorang individu dengan perkara yang berfaedah. Sebagai contoh, remaja yang suka menghabiskan masa dengan melepak atau bersosial boleh menggunakan masa tersebut untuk bersukan kerana masa itu emas. Dengan ini, masalah sosial dalam kalangan remaja yang semakin meningkat dapat dikurangkan dan imej negara dapat dipertingkatkan. Tegasnya, remaja-remaja seharusnya berfikiran positif supaya tidak terjebak dengan najis dadah kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara suatu hari nanti.
            
 Selain itu, bersukan mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ibu bapa yang sibuk menguruskan hal kerjaya dapat meluangkan masa berkumpul bersama anak-anak mereka. Sebagai contoh, pada masa cuti sekolah ibu bapa bersama-sama dengan anak-anak mereka pergi ke taman rekreasi untuk bersukan dan beriadah pada waktu pagi atau petang. Hal ini menunjukkan bahawa kemesraan antara ahli keluarga yang renggang dapat dijalinkan dan ibu bapa juga dapat melepaskan stress dengan bebanan kerja di pejabat. Oleh itu, bersukan amat penting untuk membentuk semula kasih sayang yang kian pudar terhadap  ahli keluarga.

 Tambahan pula, aktiviti sukan dapat menyihatkan badan. Apabila kita menyertai aktiviti sukan,kita akan melakukan aktiviti pergerakan yang boleh mengeluarkan peluh. Apabila badan kita berpeluh,kita akan berasa lebih segar dan sihat. Peluh yang keluar merupakan bahan kumuhan yang tidak diperlukan oleh badan kita. Jika tidak bahan kumuhan yang tidak disingkirkan oleh badan akan berkumpul dan menjadi racun yang boleh memudaratkan sehingga menyebabkan kematian. Sesungguhnya mencegah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, bersukanlah untuk memastikan kesihatan kita dalam keadaan baik dan dapat memotivasikan diri kita supaya tidak malas untuk melakukan kebaikan.
           
 Kesimpulannya, ingin ditegaskan di sini bahawa bersukan adalah penting untuk memastikan kehidupan kita sihat. Sesibuk mana pun kita, bersukan tidak bolehlah diabaikan untuk kepentingan kesihatan kita. Janganlah apabila sudah dijangkiti penyakit barulah hendak bersukan, bak kata pepatah sudah terhantuk baru terngadah. Jika kesihatan kita terjamin, kita mampu melakukan perkara yang dapat memajukan diri, keluarga, agama dan negara .


No comments:

Post a Comment